Sektor prasekolah perlu bersedia hadapi dasar baharu KPM

KUCHING: Sektor pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) di Sarawak perlu bersedia menyesuaikan diri dengan dasar baharu yang membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki tahun satu bermula 2027.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dasar yang diperkenal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pilihan kepada ibu bapa sama ada untuk mendaftarkan anak mereka ke tahun satu pada usia enam tahun atau mengekalkan mereka di tadika sehingga berumur tujuh tahun.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) menegaskan, walaupun pelaksanaan tersebut tidak bersifat mandatori, implikasinya terhadap ekosistem TASKA dan TADIKA di negeri ini adalah signifikan khususnya dari segi kemasukan murid, kelestarian kewangan pengusaha serta aspek kesiapsiagaan perkembangan kanak-kanak.

“Jika sebahagian besar ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke tahun satu lebih awal, jumlah murid enam tahun di tadika akan berkurangan secara ketara, sekali gus memberi kesan kepada operasi dan keperluan tenaga pengajar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MPAKS di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan majoriti ibu bapa masih cenderung mengekalkan pendekatan sedia ada iaitu kanak-kanak berusia sifar hingga empat tahun ditempatkan di TASKA manakala usia empat hingga enam tahun di TADIKA, berikutan kebimbangan terhadap tahap kematangan akademik, emosi dan sosial anak-anak mereka.