Semangat kebersamaan kukuhkan ahli Parti PBB Simanggang

SIMANGGANG: Perpaduan dalam kalangan ahli parti terus menjadi tunjang utama dalam memastikan kekuatan dan kesinambungan perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simanggang kekal kukuh dan relevan.

Ketua Cawangan Parti PBB Simanggang, Mohamad Shafizan Kepli menegaskan bahawa kerjasama erat antara ahli merupakan faktor penting dalam menjayakan setiap aktiviti yang dirancang parti.

Menurut beliau, kesepaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli mampu memastikan setiap program dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian ketika merakamkan penghargaan kepada ahli Parti PBB Cawangan Simanggang atas komitmen dalam menjayakan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti PBB Simanggang yang berlangsung di sini malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar turut menzahirkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda atas kejayaan menganjurkan Bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan lalu yang dilihat berjaya merancakkan ekonomi.