SKS Mukah medan satupadukan rakyat, interaksi perkhidmatan kerajaan

MUKAH: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah yang bermula hari ini menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat, selain ruang penyatuan masyarakat pelbagai lapisan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, program itu membuka ruang kepada rakyat berurusan secara langsung dengan ketua jabatan, mendapatkan maklumat perkhidmatan kerajaan, menyuarakan masalah dan mendapatkan penyelesaian secara terus daripada agensi berkaitan.

Menurut beliau, pegawai kanan dan ketua jabatan yang hadir memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan penjelasan mengenai perkhidmatan kerajaan, selain membolehkan isu tertentu ditangani dengan segera mengikut bidang kuasa agensi terlibat.

“Yang penting bagi kita ialah menyampaikan maklumat kepada rakyat. Mereka boleh bersemuka dengan pegawai kita, pegawai kanan dan ketua jabatan sekiranya mempunyai masalah.

“Mana yang dapat kita selesaikan dengan segera, kita selesaikan dengan segera,” katanya selepas menyempurnakan prapelancaran Sarawak Kitchen’, di sini hari ini.

Menurutnya, SKS Mukah turut tampil unik dengan mengetengahkan sajian dan resipi tempatan, memperlihatkan keunikan makanan warisan masyarakat setempat khususnya Melanau yang sukar ditemukan di tempat lain.

Jelas beliau, pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah terutama sebuah Proton Saga sebagai tarikan utama SKS kali ini.

Menyentuh persiapan sebelum kemuncaknya pada Sabtu, Mohamad Abu Bakar menambah, segalanya berjalan lancar hasil kerjasama jawatankuasa pelaksana serta sokongan padu warga Mukah.

Turut serta, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli dan Ketua-Ketua Jabatan.