KUCHING: Projek menaik taraf bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama menjadi Pusat Seni Persembahan kini mencapai 46 peratus dan dijangka siap pada Jun 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemajuan projek mencapai kira-kira 1.6 peratus mendahului jadual.
Menurutnya, sebahagian besar kerja utama dan rumit berjaya diselesaikan, manakala kerja ketika ini lebih tertumpu kepada bahagian dalaman termasuk reka bentuk dalaman serta kemasan.
“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dilihat hari ini.
“Dengan komitmen daripada pihak perunding, Jabatan Kerja Raya (JKR),kementerian dan kontraktor, kita yakin projek ini dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak projek tersebut, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MCTP), Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Tetap MCTP, Morshidi Fredrick.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, sasaran menyiapkan projek itu amat penting memandangkan Sukan SEA akan berlangsung pada September tahun sama.
Katanya, sekiranya siap mengikut perancangan, pusat berkenaan berpotensi digunakan untuk menganjurkan persembahan kebudayaan dan kesenian sempena temasya tersebut.
“Ini termasuk bagi memberi peluang kepada pengunjung dari negara Asia Tenggara mengenali budaya Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa ciri asal bangunan bersejarah berkenaan akan terus dikekalkan, antaranya panel kayu dan bumbung mozek kaca bagi memelihara nilai estetik serta identitinya.
Selain itu, katanya, cadangan mewujudkan sebuah galeri kecil dan penerbitan buku meja kopi turut dipertimbangkan bagi mengetengahkan sejarah bangunan yang pernah menjadi lokasi persidangan DUN Sarawak.
“Kawasan sekitar kompleks ini juga dirancang sebagai “taman rakyat”.
“Ini boleh dimanfaatkan orang ramai untuk aktiviti riadah dan kekeluargaan selain menjadi pusat kegiatan seni serta kebudayaan,” ujarnya.
Mengenai nama rasmi kompleks berkenaan, beliau berkata, ia masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan dengan pihak berkuasa lebih tinggi, termasuk Premier Sarawak. -NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
