LIMBANG: Kerajaan menggalakkan syarikat tempatan mengusahakan projek penternakan ayam penelur di sini bagi membantu bekalan tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, disebabkan masalah lojistik dan pengangkutan, daerah Limbang sangat memerlukan bekalan telur yang dihasilkan oleh syarikat tempatan.
Daerah Limbang kini banyak bergantung kepada pembekal dari luar dan negeri jiran Sabah, katanya selepas mengadakan lawatan ke Ladang Ayam Penelur milik Sriberjaya di Kampung Ukong dekat sini, semalam.
Beliau berkata, projek penternakan ayam penelur yang diusahakan Ladang Sriberjaya itu mampu mengatasi kekurangan bekalan telur di utara Sarawak apabila dijangka beroperasi Jun tahun depan.
Ladang itu menternak 10,000 ekor ayam penelur yang mampu menghasilkan 250,000 biji telur sebulan apabila beroperasi kelak, katanya sambil menzahirkan rasa gembira dengan projek itu yang merupakan satu-satunya ladang yang menghasilkan telur di Limbang.
“Ini perkembangan yang baik memandangkan keperluan telur di Limbang bergantung kepada bekalan dari kawasan lain di Sarawak dan Sabah dan kita menghadapi kekangan logistik.
“Dengan adanya pengeluaran telur ayam di Limbang, masalah logistik dapat diselesaikan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu dengan adanya ladang tersebut, ia sekali gus memenuhi keperluan dan permintaan telur di daerah berkenaan yang meningkat terutama pada musim perayaan.
Data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Limbang, menunjukkan jumlah anggaran pembekalan telur oleh pemborong dan pasar raya adalah sebanyak 516,000 biji telur pelbagai gred sebulan.
