Sukan SEA 2027: Sebuah jawatankuasa akan ditubuh – Abdul Karim

KUCHING: Sebuah jawatankuasa akan ditubuh sebagai persediaan Sarawak yang akan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, acara pembukaan rasmi Sukan SEA 2027 ‘boleh dikatakan’ bakal diadakan di Kuching. Meskipun katanya, sukan itu diadakan pada 2027, persediaan awal perlu dibuat mulai sekarang.

“Kita ada masa tiga tahun untuk membuat persiapan.
Oleh itu, jawatankuasa yang ditubuh nanti membuat persediaan awal untuk melancarkan penganjuran, katanya pada sidang media berhubung Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak Kesembilan, di sini, hari ini.

Karim menegaskan, ia susulan permintaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bersetuju untuk menjadi penganjur bersama Kerajaan Persekutuan dan perkara itu juga sudah dibincanga antara kementeriannya dan Kementerian Belia dan Sukan diketuai Hannah Yeoh.

“Bagi kita, ia adalah penting untuk acara pembukaannya diadakan di sini, acara penutupan Sukan SEA nanti pula boleh diadakan di Semenanjung, terpulang kepada Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau mengesahkan, kementeriannya diberi keistimewaan untuk memilih acara sukan mana yang akan diadakan di Sarawak berdasarkan kemudahan yang dimiliki.

“Ada 36 acara sukan dan setengah daripadanya (18) acara akan diadakan di sini. Bagaimanapun, ia belum dimuktamadkan lagi.

Menurut Karim, beliau mahukan acara berbasikal diadakan di Sarawak, justeru berharap velodrome yang sedang dibina siap sebelum Sukan SEA nanti.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memgumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027 penutupan SUKMA XXI, baru-baru ini.