PETRA laksanakan 15 projek tebatan banjir di Sarawak

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sedang melaksanakan 15 projek tebatan banjir di Sarawak.

Menurut kenyataan PETRA, ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13, RP1) dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM3.39 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, lima projek berada pada peringkat prapelaksanaan, tiga projek sedang dalam pelaksanaan, manakala tujuh projek telah siap sepenuhnya,” menurut kenyataan itu hari ini.

Ini susulan kejadian banjir pada 10
Mac 2026 di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching dan Lundu serta lokasi kawasan hotspot banjir iaitu Kampung Sebat Melayu, Kampung Segong dan Kampung Sileng Melayu susulan hujan lebat yang signifikan.

Selain itu, menurut PETRA di bawah RMK-12, sebanyak 453 kerja pemuliharaan sungai berjaya disiapkan dengan kos RM50.9 juta yang melibatkan usaha meningkatkan kapasiti aliran sungai serta menstabilkan tebing bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkaitan.

Selain itu, sebanyak 548 projek kecemasan luar jangka turut dilaksanakan dengan kos RM45.3 juta bagi menangani isu kerosakan infrastruktur sungai serta mengurangkan risiko banjir secara segera di kawasan terjejas.

“Bagi memperkukuh lagi usaha mitigasi banjir, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta di bawah RMK-13 untuk melaksanakan kerja-kerja kecil pemuliharaan sungai di Sarawak,” katanya.

Antara skop kerja termasuk pengaluran sungai, pembaikan tebing runtuh serta menaik taraf aset berkaitan bagi memastikan sistem saliran dan sungai berfungsi dengan lebih cekap.