KUCHING: Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, DUN Gedong dan DUN Sebuyau akan mempertandingkan sebanyak 23 produk dalam pertandingan Produk Inovasi Komuniti Pertanian Moden (PINOKOM) 2024.
Komuniti terbabit merupakan peserta Program
Pemerkasaan Komuniti Perkampungan Pesisir Pantai Melalui Sistem Pertanian Moden anjuran Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak (UiTMCS).
Menurut kenyataan media UiTM Cawangan Sarawak, program ini merupakan projek rakyat di bawah inisiatif Pejabat Residen Bahagian Samarahan yang bertujuan membantu komuniti di tiga DUN di Bahagian Samarahan terbabit mendalami dan menerokai bidang pertanian dari sudut inovasi.
Program dijalankan empat fasa bermula Oktober 2023 dan fasa keempat serta kemuncak ialah pertandingan PINOKOM 2024 sebanyak 12 anugerah.
“Sebanyak 23 produk akan dipertandingkan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori produk hiliran dan kategori produk pertanian,” menurut kenyataan itu.
Produk hiliran dipertandingkan peserta dari Gedong adalah Pekasam Ikan Tawar, Bumbu Bubur Pedas Resepi Temurun, Serunding Empulur Nenas Ikan Masin, Acar Buah Terung Asam dan Serbuk Bunga Kantan.
“Hanya terdapat satu produk hiliran dari Simunjan iaitu Inek Kati’s Homemade Baking Products manakala lima produk dari Sebuyau iaitu Kerepek Ikan Empirang, Jem Lakum, Jelly Gula Apong, Teh Beling dan Ikan Pansuh RTE,” tambah kenyataan itu.
Sebanyak 12 produk dipertandingkan di bawah kategori pertanian iaitu satu dari Sebuyau (Pineapple Compost Tea), empat dari Gedong (Sky Farm, Shakesow Seeder, Menara Hidroponik, EFB Carbon Gold) dan tujuh produk dari Simunjan iaitu Floated Raft Fertigation, Hidroponik Batang Pisang, Lukai Natural Repellent SF-Palm, Ananas Wicks Fibre (A-wicks), CO-SAVA Shield (Plant Booster Repellent) dan Racun Rumpai Terpirap.
Majlis penutupan program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Hadir sama, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTMCS, Prof Madya Ir Dr Juferi Idris mewakili Prof Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin menjalankan fungsi Rektor UiTMC.
