GEDONG: Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak akan memberi fokus kepada sistem pengairan khusus kepada kawasan pertanian seluruh Sarawak sebaik rombakan terhadap struktur jabatan itu selesai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, DID Sarawak pada tahun ini akan dipecah di bawah dua kementerian iaitu Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG).
Menurut beliau, rombakan ini dibuat untuk memastikan skop kerja jelas yang perlu diberi penekanan oleh jabatan terbabit.
“DID dibahagi kepada dua iaitu satu akan menyelenggara dan membangunkan parit dan tali air di kawasan bandar manakala kita akan menubuhkan satu lagi unit ini di bawah M-FICORD.
“Unit ini khas untuk membangunkan parit dan tali air di kawasan pertanian yang akan diseliakan di bawah M-FICORD oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, manakala unit di bawah MPHLG di bawah seliaan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Rakyat Mid Sadong 1 di Kampung Lubok Punggor, di sini.
Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana khas kepada DID baharu di bawah M-FICORD untuk melaksanakan tugas mereka.
“Saya sudah mengumumkan untuk yang pertanian sahaja, sebanyak RM1 bilion,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyempurnakan simbolik pecah tanah Projek Rakyat: Skim Rehabilitasi Mid Sadong 1 dengan anggaran kos sebanyak RM46 juta di bawah M-FICORD dengan DID sebagai agensi pelaksananya.
Turut dilancarkan ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Lubok Punggor.
Hadir sama Menteri M-FICORD Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengarah DID Sarawak Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Residen Bahagian Samarahan Irwan Bahari Bujang.
