Tiga permit kajian karbon dalam proses

KUCHING: Kerajaan Sarawak setakat ini telah meluluskan satu permit kajian karbon kepada sebuah syarikat tempatan untuk membuat kajian dan menilai potensi sebenar kawasan tersebut bagi menjalankan aktiviti karbon.

Menteri Perancangan Sumber, Pembangunan Bandar dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tiga lagi permit kajian karbon sedang dalam proses akhir dan satu daripadanya melibatkan kajian karbon biru di kawasan hutan bakau.

Karbon biru merujuk kepada karbon yang disimpan dalam ekosistem laut terutamanya oleh hutan bakau dan rumput laut, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Awang Tengah memberitahu dewan, ekosistem itu memain peranan penting dalam penyerapan dan penyimpanan kuantiti karbon dioksida yang besar di atmosfera.

Justeru, aktiviti melibatkan konservasi berkenaan dengan karbon biru amat penting untuk mengimbangkan penyerapan karbon secara konsisten pada masa hadapan, katanya.

Manakala bagi aktiviti penyimpanan karbon, beliau berkata, satu kawasan berkeluasan 1.318 juta hektar (3.257 ekar) di kawasan perairan Miri-Bintulu telah diluluskan secara prinsip untuk dikeluarkan dengan Lesen Penyimpanan Karbon kepada Petroelum Sarawak Berhad (PETROS).

Menurut beliau, bagi memudahcara aktiviti perdagangan karbon agar lebih sistematik dan teratur serta menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan gas rumah hijau kepada sifar bersih menjelang 2050, Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 diluluskan DUN.

Kerajaan Sarawak, tambahnya, turut menjalankan kajian Dasar Perubahan Iklim Sarawak dan Halatuju Malaysia Rendah Karbon di Bandar (Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu) bagi merangka langkah mitigasi dan adaptasi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim.