GPS stabilkan politik negara

KUCHING: Gabungan Parti Politik Sarawak (GPS) memberi sumbangan besar dan memainkan peranan penting dalam menstabilkan politik negara, kata Perdana Menteri.

Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, atas sokongan padu diberikan oleh GPS, Kerajaan Perpaduan kini memilki lebih dua pertiga majoriti di Parlimen.

Kestabilan politik amat penting untuk Malaysia meneruskan agenda pembangunan terutama dalam peralihan tenaga dan transformasi digital, katanya dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Islam Global di sini, malam tadi.

Anwar menegaskan, Kerajaan GPS dan Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memainkan peranan penting dalam mewujudkan kestabilan politik negara.

Hari ini, tambahnya, sambutan setahun Kerajaan Perpaduan, walaupun pada awalnya ada goyah sedikit, namun sekarang sudah stabil.

Perdana Menteri berkata, Malaysia harus bergerak ke hadapan berasaskan inovasi termasuk menghasilkan produk makanan halal yang mempunyai pasaran begitu luas di peringkat global terutama di negara-negara Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Untuk mewujudkan perkembangan ekonomi mampan ia hendaklah berdasarkan ihsan dan amanah dan manusia juga perlu mewujudkan keseimbangan antara kemajuan dan alam semula jadi, tegas beliau.

Beliau menambah, Indonesia, Brunei, Thailand dan Malaysia boleh menjalin kerjasama lebih erat dalam menghasilkan produk makanan halal global.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga, sungguhpun penubuhan Bank Islam di negara ini berlandaskan syariah, namun mendapat sokongan penduduk bukan Islam dan kerjasama inilah yang harus Malaysia pertahankan untuk terus membangun.

Perdana Menteri berharap forum tiga hari itu dapat dijadikan tempat bagi umat Islam (pemikir) di seluruh dunia bertukar-tukar idea mencari jalan penyelesaian menangani cabaran dan isu berkaitan dunia Islam.

Mengenai perubahan iklim, katanya, Islam mempunyai jawapannya seperti yang diajarkan di dalam Al-Quran iaitu mewujudkan masyarakat seimbang dan manusia dalam mengejar kemajuan harus menjaga dan menyayangi alam semula jadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Dato Seri Dr Wan Azizah Ismail, Naib Presiden Indonesia, Prof. Kiyai Ma’ruf Amin dan isteri, Wury Estu Handayani Ma’ruf Amin, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dan Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK