TYT, isteri sertai latihan menembak PDRM Kontinjen Kuching

PADAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa menyertai latihan menembak anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuching di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching.

Ketibaan beliau berdua pada jam 10 pagi tadi disambut Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu serta pegawai kanan PDRM yang lain.

Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan dan pengendalian senjata api yang disampaikan oleh Pegawai Turus Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, DSP Zaidi Said yang juga bertindak sebagai pengendali latihan.

Dalam sesi tersebut, Tun Pehin Sri dan Toh Puan menyertai latihan kategori ‘centre-fire’ dan ‘falling plate’ bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak serta pegawai kanan pasukan.

Menurut Asisten Komisioner Alexson Naga, seramai 20 penembak terdiri daripada pegawai kanan lelaki dan wanita mengambil bahagian dalam latihan julung kali itu bagi memastikan tahap kemahiran serta kompetensi penggunaan senjata api sentiasa berada pada tahap optimum.

Sejurus selesai latihan, Tun Pehin Sri dan isteri turut menghadiri jamuan tengah hari sebelum menandatangani kertas sasaran yang digunakan sepanjang sesi menembak tersebut.

Program diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai sebelum tetamu kenamaan berangkat meninggalkan majlis.