KUCHING: Seramai 152 orang daripada pelbagai latar belakang dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran Negeri Sarawak dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri, hari ini.
Upacara berprestij itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Istiadat dimulakan dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) kepada sembilan penerima terawal.
Antara yang menerima P.P.C ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, diikuti Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Superi Awang Said.
Turut tersenarai sebagai penerima ialah Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak, Rusmaliza Mat Darus, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Lo Sheu Sia.
Selain itu, pingat sama turut dikurniakan kepada Ketua Pentadbir Ombudsman Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Syed Ismail Nasiruddin Dato’ Sri Wan Hashim serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Syed Mohamad Fauzi Shahaib.
Istiadat kemudian diteruskan dengan pengurniaan Darjah Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada empat individu, iaitu Pakar Perunding Urologi Borneo Medical Centre, Dr Lim Meng Shi; Editor Bersekutu New Sarawak Tribune, Murugaiah Meyappan, Pengetua Geomatics Survey Consultants, Sulaiman Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan, Kawalan dan Pemantauan Kementerian Ekonomi, Nor Shahida Mohd Sahimi.
Seramai 17 individu pula menerima Darjah Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K), manakala Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) dianugerahkan kepada 20 penerima.
Dalam majlis yang sama, 13 penerima dikurniakan Darjah Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), sementara 21 lagi menerima Darjah Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K).
Pengurniaan diteruskan dengan Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) kepada 32 penerima sebelum istiadat ditutup dengan penganugerahan Darjah Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada seramai 36 individu.
Hadir sama menyaksikan istiadat ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom serta tetamu kehormat lain.
