Pembangunan luar bandar keutamaan Kerajaan Sarawak- Abdullah Saidol

SEMOP: Lebih 60 peratus atau sekitar RM6 bilion peruntukan belanjawan pembangunan Kerajaan Sarawak ditumpukan ke arah kawasan luar bandar Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata ini termasuk bagi membina sebanyak 16 jambatan utama yang sama ada telah siap atau sedang dibina di kawasan pesisir luar bandar negeri ini.

“Pendekatan ini membuktikan pembangunan luar bandar menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke Tekajong, Sedi, Serdeng dan rumah-rumah panjang di Sungai Sian, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Abdullah Saidol juga menyampaikan peruntukan pembangunan berjumlah lebih RM6.3 juta melibatkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada penduduk DUN Semop.

Menurutnya, peruntukan itu sebanyak RM846,000 dari dana MRP telah disalurkan kepada 20 penerima, manakala sebanyak RM671,000 bagi pelaksanaan projek kecil kemudahan awam desa.

“Ini termasuk pembinaan tempat letak kereta, baik pulih jeti, pembinaan dan naik taraf jalan kampung, masjid serta dewan masyarakat,” tambahnya.

Selain itu katanya, sebanyak RM175,000 lagi diperuntukkan bagi aktiviti kemasyarakatan dan program sekolah, manakala 18 projek di bawah RTP bernilai RM4.65 juta turut akan mula dilaksanakan pada awal tahun ini.