Sarawak, Brunei terokai peluang pelaburan, kerjasama perniagaan

KUCHING: Sarawak memperkukuh hubungan ekonomi serantau apabila Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) mengadakan lawatan rasmi ke negeri ini, bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan antara kedua-dua pihak.

Lawatan ini dimudah cara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Menurut kenyataan MINTRED, lebih 15 syarikat Brunei daripada pelbagai sektor menyertai program ini untuk menilai peluang pelaburan di Sarawak serta memahami persekitaran perniagaan, struktur kawal selia dan kos operasi negeri.

“Delegasi BEDB yang diketuai Norlela Suhailee mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew, Konsul Jeneral Brunei di Sarawak Sheikh Abdul Mahdani Paduka Sheikh Abdul Gani, kata kenyataan itu.

Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pelaburan rentas sempadan serta memperkukuh kerjasama dalam sektor keutamaan seperti tenaga, keselamatan makanan, akses pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan industri berpertumbuhan tinggi.

Program lawatan turut melibatkan sesi padanan perniagaan dan rangkaian bagi menggalakkan kolaborasi antara syarikat Sarawak dan Brunei.

Susulan lawatan ini, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) akan memudah cara libat urus susulan bagi memastikan peluang perniagaan yang terjalin dapat diterjemahkan kepada hasil konkrit.

Lawatan BEDB ke Sarawak menunjukkan komitmen negeri ini untuk memperluas jaringan ekonomi serantau, memperkukuh pelaburan serta mewujudkan peluang pertumbuhan baharu bagi perusahaan di Sarawak.