Gerak kerja DUN Kalaka perlu diselaras hadapi tahun penting 2026

SARATOK: Pergerakan Wanita, Pemuda, Belia 1828 serta Kaum Bapa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi tunjang kepada kestabilan dan kekuatan parti.

Ketua Cawangan Parti PBB Kalaka, Mohamad Duri berkata setiap sayap memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan parti dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perjumpaan bersama Pergerakan Wanita Cawangan Kalaka di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, hari ini.

Menurutnya, perjumpaan tersebut memberi fokus kepada perancangan strategik dan penyelarasan gerak kerja parti bagi tahun 2026 agar lebih tersusun dan berkesan.

Katanya, beberapa program utama dirangka untuk dilaksanakan di kawasan DUN N.38 Kalaka melibatkan aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi setempat.

Mohamad Duri menegaskan penglibatan aktif semua pergerakan penting bagi memastikan rakyat memahami inisiatif serta pencapaian Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita mahu penerangan jelas sampai ke peringkat akar umbi supaya tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita Cawangan Kalaka, Lela Ali, bersama barisan ketua-ketua Ranting Pergerakan Wanita dari seluruh kawasan Kalaka.