Kerajaan Sarawak terus perkasakan pembangunan luar bandar

BETONG: Sebanyak 108 projek fizikal pembangunan direkodkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong berdasarkan pembentangan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 36 projek atau 33 peratus sudah siap dilaksanakan, manakala 62 projek atau 57 peratus masih berada pada peringkat perancangan.

Selain itu, lapan projek atau lapan peratus berada pada status ikut jadual, satu projek atau satu peratus mendahului jadual, manakala satu projek atau satu peratus lagi mengalami kelewatan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan projek pembangunan di DUN Kabong adalah sebanyak RM204.42 juta, memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan setempat.

Bagi 2026, peruntukan berjumlah RM32.40 juta disediakan dengan perbelanjaan semasa direkodkan sebanyak RM21.78 juta.

Chee Kadir berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasaan Projek Kawasan DUN Kabong di Pejabat Residen Bahagian Betong, hari ini.

Beliau menegaskan semua projek perlu dilaksanakan mengikut jadual dan sebarang kelewatan hendaklah dikenal pasti segera bagi membolehkan tindakan pembetulan diambil.

Katanya, pemantauan berterusan serta komitmen tinggi semua agensi pelaksana penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.