Penduduk Kampung Baru hasilkan sabun, lilin dari minyak masak terpakai

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berharap produk dari minyak masak terpakai melalui projek Waste to Wealth di Kampung Baru di sini dapat dipasarkan ke kawasan sekitar.

Timbalan Pengarah (Kelestarian) Pusat Kelestarian UNIMAS, Dr Mohd Farid Atan berkata, melalui projek itu penduduk kampung yang menjadi peserta didedahkan cara memanfaatkan minyak masak terpakai untuk menghasilkan produk baharu seperti sabun botani dan lilin estetik.

Katanya, ini dengan kerjasama PETRONAS yang menyokong memperkenalkan konsep pengumpulan minyak masak terpakai serta kesemua projek ini dirangka dan dikawal selia oleh Pusat kelastarian UNIMAS.

“Harapan agar produk Waste to Wealth dari Kampung Baru dapat dipasarkan di kiosk Mesra PETRONAS di sekitar Samarahan dan Kuching,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UNIMAS, Prof Ahmad Hata Rasit merasmikan Majlis Penutupan Projek Waste to Wealth di kampung terbabit di sini, semalam.

Projek berasaskan inovasi hijau ini merupakan salah satu daripada sepuluh projek di bawah inisiatif nasional UniMADANI, iaitu program pendayaan komuniti yang dilaksanakan oleh universiti awam Malaysia dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan diselaras Pusat Kelestarian UNIMAS.

Menurut Mohd Farid, ini bukan sahaja mengurangkan sisa buangan, tetapi juga membuka peluang keusahawanan kecil untuk menambah pendapatan keluarga.