KUCHING: Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR yang mengurus Amanah Saham Sarawak (ASSAR) hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak tiga sen seunit bagi tahun kewangan 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan pengagihan dividen interim itu berkata, pengagihan kali kelima pasca penstrukturan ASSAR yang berjumlah RM15.24 juta itu akan memberi manfaat kepada 57,878 pemenang unit ASSAR, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2025.
Setelah ditolak perbelanjaan sebanyak RM3.68 juta, pendapatan bersih ASSAR ialah RM16.19 juta, katanya pada majlis pengumumkan pengagihan dividen interim ASSAR di sini hari ini.
Beliau berkata, mengambilkira lebihan pendapatan sebanyak RM12 juta daripada tahun kewangan sebelumnya, maka jumlah pendapatan boleh agih pada 31 Disember 2025 adalah sebanyak RM28.19 juta.
Ini bermakna terdapat lebihan pendapatan sebanyak RM12.95 juta yang tersedia sebagai
rizab bagi menampung pendapatan dana ASSAR untuk tempoh yang seterusnya, katanya.
“Saya berharap kadar pengagihan dividen interim yang cukup kompetitif ini dapat mencetus serta menggalakkan lagi semangat dan minat melabur dalam kalangan masyarakat Bumiputera Sarawak,” tegas beliau.
Di samping pengagihan dividen yang kompetitif, katanya, ASSAR merupakan satu instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minima RM1.00 seunit.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah dan dif kenamaan lain.
