KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bergerak bersama-sama dengan Pergerakan Pemuda parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) turun padang menjelaskan inisiatif-inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Pengerusi Pergerakan Pemuda GPS merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB, Datuk Martin Ben berkata, parti komponen itu membabitkan pergerakan pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Dato Lukanisman Awang Sauni serta Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pemuda yang lain.
Martin yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah berkata, program turun padang menerusi jerayawara pergerakan berkenaan yang bertujuan mendekati rakyat itu akan diadakan dalam masa terdekat.
“Kita akan menjelajah seluruh Sarawak bermula dari bahagian utara,” katanya kepada media sambil mengalu-alukan kedatangan semua Ketua Pemuda parti komponen GPS bagi tahun 2025 hingga 2027.
Beliau berkata, Pergerakan Pemuda GPS akan berkongsi isu sama dalam program turun padang berkenaan terutama berkaitan dengan isu pembangunan dan inisiatif kerajaan.
Menurut beliau, jika pilihan raya negeri diadakan tahun ini, Pergerakan Pemuda GPS akan memain peranan untuk membantu setiap calon GPS memenangi kerusi yang dipertandingkan.
Menurut Martin, jentera Pergerakan Pemuda GPS sentiasa berada di lapangan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri ( PRN) akan datang.
Katanya, jentera parti PBB dan GPS sentiasa berada di lapangan untuk menjalankan program membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-ADUN) di kawasan masing-masing.
“Kita (Parti PBB) sentiasa berada di lapangan untuk menjalankan program-program, membantu ADUN-ADUN kita di kawasan. Begitu juga dengan komponen parti PRS, SUPP dan PDP,” katanya.
