Wanita Parti PBB ikrar beri sokongan padu kepimpinan GPS

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan pendirian teguh untuk terus menyokong penuh kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mempertahankan hak-hak negeri serta menerajui Sarawak ke arah merealisasikan agenda dan aspirasi pembangunan jangka panjang.

Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kepimpinan Premier Sarawak terbukti berwawasan khususnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital, teknologi hijau, pembangunan mampan serta usaha mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

Katanya, Pergerakan Wanita parti turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, selaras dengan pendirian beliau yang menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian dan keperluan mengekalkan fokus berterusan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kita bertekad untuk terus memperteguhkan sokongan kami terhadap kepimpinan dan rakyat Sarawak agar menjadi lebih bersatu padu.

“Kita bekerja sebagai satu pasukan. Jika ada masalah, ia akan membuat kita lebih bersatu padu dan bersemangat. Kami menitik berat tentang perpaduan, pembangunan, keamanan, keharmonian demi ‘Sarawak First’,” katanya.

Beliau berkata, Pergerakan Wanita merakamkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak atas kejayaan pengambilalihan dan pengembalian Pelabuhan Bintulu kepada negeri ini, yang disifatkan sebagai satu pencapaian besar dan bersejarah.

“Kejayaan ini membuktikan pendirian tegas dan usaha berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menuntut serta mempertahankan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Wanita Parti PBB yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Wanita I, Dato Angelina Ujang dan Timbalan Ketua Wanita II, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta ahli-ahli MT yang lain.

Fatimah turut menyatakan keyakinan bahawa Pelabuhan Bintulu akan terus memainkan peranan strategik dan memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan serta pembangunan ekonomi Sarawak pada masa hadapan.

Sehubungan itu, menjelang berakhirnya penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Februari 2027, Pergerakan Wanita Parti PBB menggesa kesemua 82 cawangan serta ranting parti agar bersiap siaga memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan kepentingan untuk terus mempereratkan semangat perpaduan, mengekalkan komitmen dan disiplin tinggi dalam melaksanakan amanah demi memastikan kemenangan besar dan meyakinkan bagi semua calon GPS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.