SARATOK: Projek pembinaan Tebingan Saratok antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Projek di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, mesyuarat berkenaan bertujuan meneliti status pelaksanaan keseluruhan projek pembangunan yang dalam fasa perancangan, sedang dilaksanakan serta yang telah siap sepenuhnya di kawasan DUN Kalaka.
Menurutnya, mesyuarat itu dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dihadiri wakil-wakil agensi pelaksana utama yang terlibat dalam pelaksanaan projek di bawah BDDA.
“Dalam mesyuarat ini, saya telah menerima laporan kemajuan fizikal dan kewangan bagi setiap projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Saratok (MDS), Jabatan Pertanian (DOA) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT),” katanya.
Mohamad Duri menjelaskan, projek Tebingan Saratok bernilai RM91 juta itu dirancang sebagai projek ikonik dan mercu tanda baharu Bandar Saratok.
