2,000 ekor anak ikan dilepas di Sungai Paku

SPAOH: Komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat luar bandar diterjemahkan menerusi penganjuran Program Pelepasan Anak Ikan Tengadak apabila 2,000 ekor anak ikan dilepaskan di Sungai Paku, Penom, Ulu Paku, dekat sini, semalam.

Program yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Bahagian Betong sebagai usaha memperkukuh kelestarian sumber perikanan tempatan serta memelihara ekosistem sungai untuk manfaat jangka panjang komuniti.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu berkata, pewartaan Sungai Paku di bawah inisiatif Sungai Tagang mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri mengarusperdanakan pengurusan sumber semula jadi secara lestari.

Menurutnya, program pelepasan anak ikan bertujuan meningkatkan populasi ikan tempatan dan berperanan membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara sungai sebagai sumber rezeki dan khazanah alam yang perlu dipertahankan.

Sungai Paku merupakan antara sungai yang diwartakan di bawah inisiatif Sungai Tagang, yang memberi penekanan kepada pemuliharaan biodiversiti dan kelangsungan sumber perikanan.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Richard Rapu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Rosline Mapong, pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Bahagian Betong serta ketua kaum dan ketua masyarakat.