UKAS disaran tubuh seksyen pantau berita palsu, semakan fakta

KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah mencadangkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) agar menubuhkan seksyen khas bagi memantau berita palsu dan semakan fakta.

“Ia sangat penting untuk menangkis apa jua laporan atau berita palsu yang ada di luar sana, lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Setakat ini, UKAS telah melaksanakan tugasnya dengan baik dalam menyampaikan laporan terutama berkaitan kerajaan Sarawak kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi UKAS di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau turut menyarankan agar UKAS memperkukuhkan jaringan hubungan dengan Ahli Parlimen dan Senator Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membolehkan mereka mendapatkan informasi sahih dan cepat untuk dihebahkan kepada rakyat.

Delegasi UKAS diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan turut dihadiri Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah serta pegawai-pegawai kanan UKAS.

Antara lain, kunjungan hormat itu bertujuan memberi pendedahan kepada delegasi UKAS secara lebih dekat mengenai fungsi dan peranan Parlimen dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Delegasi UKAS meluangkan masa kira-kira sejam mendengar taklimat ringkas dari Dato Awang Bemee.