Forum Ramadan 1446H/2025M himpunkan tiga pertubuhan

KUCHING: Forum Ramadan 1446H/2025M yang julung kali dianjurkan secara bersama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di Wisma Sabati mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 250 ahli dari ketiga-tiga pertubuhan tersebut.

Hadir menyerikan program ialah Pengerusi SABATI, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Pengerusi MAKSAK (Wanita) Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang menekankan kepentingan peranan wanita dalam memastikan kesejahteraan rumah tangga sepanjang Ramadan.

“Forum ini memberi manfaat kepada golongan wanita, sama ada suri rumah mahupun penjawat awam yang masih bekerja.

“Peranan wanita dalam bulan Ramadan amat penting mencorakkan sebuah keluarga bahagia dan cemerlang,” ujarnya semasa program itu hari ini.

Bendahari SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin pula berkata, program ini merupakan usaha pertama yang menghimpunkan ketiga-tiga organisasi dalam satu platform bagi menganjurkan Forum Wanita dan Ramadan bertemakan Meraih Keberkatan Bersama.

“Kita menyaksikan penglibatan aktif ahli-ahli dari SABATI, MAKSAK (Wanita), dan BAKAT dengan sokongan padu.

“Kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya dalam menganjurkan aktiviti kebajikan lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa forum ini turut dimeriahkan dengan demonstrasi memasak bubur pedas, salah satu hidangan tradisi masyarakat di bulan Ramadan.