IGAN: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi meneruskan aktiviti semarak Ramadan dengan menyertai Majlis Iftar Ramadan dan Penyampaian Bantuan Kepada Balu dan Anak Yatim Igan.
Program berlangsung semalam itu dianjurkan oleh USK Cawangan Igan di Masjid Darul Falah Igan.
Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menekankan kepentingan Ramadan sebagai bulan penuh keberkatan.
“Tiada yang lebih utama selain memperoleh ilmu dan mengamalkan kesabaran dalam menjalani ibadah puasa,” katanya.
Sebagai tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, Ahmad Johnie turut menyampaikan bantuan kepada 17 Anak Yatim Saudara Kita dan 10 asnaf.
Majlis diteruskan dengan Talbiah Ramadan yang disampaikan Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah, Ustaz Muhamad Adib Saini.
Ia diakhiri dengan sesi berbuka puasa bersama, solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak dan solat Tarawih, yang mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kepedulian dalam menyantuni mereka yang memerlukan, sejajar dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan dalam Islam sepanjang bulan Ramadan.
