KUCHING: Sarawak ketika ini mempunyai populasi spesies haiwan Orang Utan kira-kira sebanyak 2,500 ekor.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, haiwan terbabit mendiami empat Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) negeri ini.
TPA terbabit ialah Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Ulu Sebuyau, Taman Negara Sedilu dan Taman Hidupan Liar Lanjak Entimau.
“Jumlahnya (di Sarawak) tidak banyak berbanding Sabah dan Kalimantan. Sarawak ada lebih kurang 2,500 ekor di empat lokasi terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Lukisan Minyak Orang Utan di Sarawak Forestry Corporation (SFC), Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Len Talif berkata, populasi haiwan terbabit bagaimanapun sedang berkembang jumlahnya di Sarawak termasuk di Rizab Semulajadi Semenggoh yang terdapat beberapa ekor bayi Orang Utan.
“Banyak bayi Orang Utan di sana sejak lima tahun ini, yang bermakna usaha pemuliharaan di (Rizab Semulajadi) Semenggoh agak berjaya,” katanya.
Beliau berkata, berbeza dengan di Sepilok, Sabah, usaha pemuliharaan haiwan terbabit di Rizab Semulajadi Semenggoh adalah dengan membiarkan haiwan itu bebas berkeliaran di hutan.
