3,000 orang daftar sistem PADU Parlimen Tanjong Manis

SARIKEI: Warga Parlimen Tanjong Manis disaran mendaftar segera Sistem Pengkalan Utama Data (PADU).

Ini kerana pelaksanaan sistem PADU ini penting dalam memastikan bantuan daripada kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, hasil maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia di Kuching mendapati hanya sekitar 3,000 orang telah mendaftar sistem PADU bagi kawasan Parlimen Tanjong Manis setakat ini.

“Jumlah 3,000 orang yang mendaftar dalam sistem PADU agak rendah,” katanya ketika lawatan ke Program Jualan Agro Madani di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Seberang Sarikei di sini, hari ini.

Yusuf berkata, ini kerana sejumlah 32,000 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Tanjong Manis yang berusia 18 tahun ke atas.

Katanya, penduduk boleh mendaftar dengan memasuki laman sesawang www.padu.gov.my atau mengunjungi pusat internet di kawasan masing-masing sebelum 31 Mac depan.

“Saya percaya kerajaan serta Jabatan Perangkaan Malaysia dapat menjamin bagi memastikan maklumat data peribadi pengguna sistem ini tidak akan bocor,” katanya.