BDDA lulus RM63 juta laksana projek di Spaoh

SPAOH: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan sebanyak RM63 juta untuk melaksanakan beberapa projek di Spaoh.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi BDDA Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sejumlah RM33 juta diperuntukkan bagi mengadakan aktiviti pertanian untuk menjana pendapatan.

“Ini akan berasaskan pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik.

“Latihan yang sesuai akan diadakan untuk belia kita yang berminat,” katanya semasa menghadiri majlis makan malam sebelum Tahun Baharu Cina yang diadakan di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menambah tapak seluas 260 hektar berhampiran Pelabuhan STOL Bebuling telah diperuntukkan untuk projek tersebut.

Sementara itu, beliau berkata Tebingan Sungai Spaoh akan diperbesarkan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Selain itu katanya, pasar Spaoh baharu juga akan diperluaskan yang merangkumi ruang pasar malam dan kawasan medan selera dengan menelan kos sebanyak RM5 juta.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan, sebuah pusat hemodialisis akan dibangunkan berdekatan Klinik Kesihatan Spaoh berharga RM5 juta.