413,380 murid, pelajar sekolah Sarawak terima BAP

KUCHING: Sebanyak RM62 juta
diperuntukkan bagi melaksanakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid dan pelajar sekolah di Sarawak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, inisiatif ini memberi
manfaat kepada 413,380 murid dan pelajar melibatkan 1,460 sekolah di Sarawak.

“Belanjawan 2026 meluluskan
peruntukan sebanyak RM794 juta kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan pengagihan BAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan BAP Sarawak 2026 di SMK Petra Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta tetamu kenamaan lain.
Mustapha berkata, BAP diberikan kepada semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Enam tanpa mengira had pendapatan ibu bapa atau penjaga di seluruh negara pada sesi persekolahan 2026.

Menurutnya, bagi SMK Petra Jaya sebanyak RM195,450 diperuntukkan dan diberikan 1,303 murid.

Selain itu, beliau juga mendedahkan Inisiatif Sejahtera Madani diterima oleh 370 Isi Rumah (IR) di peringkat sekolah rendah dan 370 Isi Rumah (IR) di peringkat sekolah menengah yang berdaftar sebagai status miskin dalam sistem eKasih di Sarawak.