Sarawak sedia kaji semula pelaksanaan UP-DLP jika UPSR, PT3 dikembali – Roland Sagah

PADAWAN: Kerajaan Sarawak bersedia menilai semula pelaksanaan Ujian Penilaian-Program Dwibahasa (UP-DLP) sekiranya peperiksaan kebangsaan seperti UPSR dan PT3 dikembalikan pada masa hadapan.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, langkah ini bertujuan memastikan sistem pendidikan negeri selari dengan dasar nasional tanpa menjejaskan kemajuan pelajar.

“Sarawak akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyesuaikan program pendidikan negeri dengan sebarang perubahan dasar di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Pertama Persekolahan 2026 di SMK Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Secara peribadi, beliau berharap UPSR dan PT3 dikembalikan kerana peperiksaan itu menyediakan penanda aras jelas bagi menilai kemajuan akademik murid pada peringkat penting persekolahan.

Namun kata Sagah, UP-DLP tetap penting bagi Sarawak, khususnya untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan program ini dilaksanakan secara berperingkat dengan pengambilan murid Tahun Enam tahun lalu.