Dua rumah ibadat Stakan terima dana UNIFOR

KOTA SAMARAHAN: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan dana berjumlah RM1.14 juta kepada dua institusi keagamaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan di sini, semalam.

Penyerahan sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.

Peruntukan itu melibatkan projek pembinaan serta penaiktarafan kemudahan rumah ibadat di sekitar Kota Samarahan.

Daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, Gereja Baptist Kota Samarahan menerima sumbangan terbesar sebanyak RM1,000,000 bagi tujuan pembinaan bangunan gereja baharu Kota Samarahan Baptist.

Projek berkenaan dijangka menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penganut setempat dalam melaksanakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, St. Matthias’ Chapel Kampung Merdang Limau turut menerima peruntukan sebanyak RM140,000 bagi pembinaan Parish Hall serta kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik tiga fasa, sekali gus meningkatkan kemudahan asas dan keselesaan jemaah gereja tersebut.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN Stakan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas penyaluran dana berkenaan dan berharap agar sumbangan yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan komuniti.

Pusat Khidmat DUN Stakan turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum, selaras dengan semangat perpaduan serta keharmonian yang menjadi tunjang kepada pembangunan Sarawak.