KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memperkenalkan perkhidmatan bas sekolah percuma dalam usaha memberi keselesaan serta keselamatan kepada pelajar yang ulang alik dari rumah ke sekolah.
Langkah tersebut juga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak selain membantu meringankan beban tanggungan ibu bapa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek perintis itu dilaksanakan bersama wakil rakyat tempatan untuk menilai keberkesanan pengurangan penggunaan kenderaan persendirian.
“Statistik awal menunjukkan penurunan jumlah kenderaan di kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Maong dan SJKC Chung Hua No.6,” katanya selepas melancarkan Bas Sekolah Percuma di SJKC Chung Hua No.6 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman,Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Dato Jonathan Chai Voon Tok, Pengerusi Program Bas Sekolah Percuma See Chee How.
Abang Johari menjelaskan, perkhidmatan bas percuma itu turut meningkatkan keselamatan pelajar, kerana setiap bas dilengkapi sistem penjejakan yang membolehkan ibu bapa memantau perjalanan dan berkomunikasi dengan anak-anak sepanjang perjalanan ke sekolah.
Katanya, perkhidmatan bas percuma ini dijangka diperluas ke kawasan lain sebagai pengangkutan utama bagi pelajar.
“Semua kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, sekali gus menjimatkan masa, kos bahan api, dan penggunaan kenderaan persendirian oleh keluarga,” katanya.
