Kerajaan bakal bina 20,000 rumah mampu milik

KUCHING: Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Kerajaan Sarawak akan membangunkan 20,000 unit rumah mampu milik di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk mencapai matlamat itu, kerajaan harus mengubah beberapa sistem dan dasar pembangunan perumahan.

Satu daripadanya ialah menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS),katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2025 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Beliau berkata, dengan menggunakan teknologi kemajuan kejuruteraan yang dipacu oleh pengdigitalan dan sokongan logistik, pelaksanaan IBS akan meningkatkan kecekapan, kualiti dan produktiviti dalam proses membangunkan rumah.

Di samping itu, beliau berkata, IBS juga menjimatkan kos dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan sisa buangan binaan.

SHEDA, tambahnya, juga perlu menggunakan sumber dan kekuatan dalam membantu mentransformasikan corak pembangunan di negeri ini sesuai dengan kehendak trend masa kini.

Fokus pembangunan perumahan dan hartatanah hari ini, katanya, ialah menangani perubahan iklim, memupuk masyarakat inklusif dan menjamin ketelusan tabir urus kerajaan.

Matlamat Kelestarian Alam Sekitar (ESG) akan mengubah masa depan negeri ini, katanya.

Beliau menambah, trend seperti rumah kecil, berorientasikan pembangunan transit, taman dan kawasan lapangan bermasyarakat adalah yang dimahukan oleh generasi baharu untuk dijadikan tempat tinggal.

Beliau berkata, untuk kebaikan industri perumahan dan hartatanah, Kerajaan Sarawak akan terus berbincang dan mengadakan sesi libat urusa dengan SHEDA.