KUCHING: Paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di Sarawak kini diseragamkan kepada RM1,198, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada rakyat berpendapatan rendah untuk menerima pelbagai bantuan kebajikan daripada kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keputusan itu dipersetujui Kabinet Negeri semalam selepas beliau membentangkan cadangan agar PGK negeri diselaraskan dengan kadar rasmi 2022 yang digunakan Kerajaan Persekutuan.
‘Sebelum ini bantuan am negeri masih berasaskan PGK lama iaitu RM990 yang ditetapkan sejak 2014, sedangkan skim bantuan di bawah persekutuan sudah menggunakan kadar baharu RM1,198.
“Langkah penyelarasan ini memastikan tiada lagi percanggahan dan rakyat lebih jelas mengenai kelayakan mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Antara skim yang terlibat termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) bekerja dan tidak bekerja serta Bantuan Pesakit Terlantar.
Fatimah menjelaskan, kebanyakan permohonan datang daripada ibu tunggal, namun bapa tunggal yang menjaga anak kecil juga berhak memohon sekiranya pendapatan isi rumah tidak melebihi RM1,198.
Beliau turut menekankan Bantuan Am oleh kerajaan negeri masih diteruskan sebagai sokongan tambahan untuk mereka yang tidak menepati kriteria khusus tetapi tetap hidup dalam kemiskinan.
“Misalnya, individu miskin berusia bawah 60 tahun yang tidak layak memohon bantuan warga emas boleh dibantu melalui bantuan am,” katanya.
