Pantau perkembangan anak-anak di sekolah

DARO: Penganjuran Kejohanan Olahraga Tahunan dan Sukan Pra-Sekolah bukan sahaja berfungsi sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan, malah turut memperkukuh semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama dalam kalangan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, aktiviti sukan dan kokurikulum adalah elemen penting dalam membentuk generasi pelajar sihat, cerdas serta berdaya saing.

“Sukan harus seiring dengan pendidikan anak-anak kerana keseimbangan kedua-duanya akan melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah cergas dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga Tahunan dan Sukan Pra-Sekolah SK Ulu Daro Tahun 2025, semalam.

Safiee turut menggesa ibu bapa sentiasa peka terhadap perkembangan anak-anak di sekolah dengan memberikan sokongan penuh terhadap penyertaan mereka dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

“Penglibatan ibu bapa adalah kunci kejayaan bersama dalam membentuk kecemerlangan pelajar,” kata beliau.

Pada majlis itu, Safiee turut mengumumkan peruntukkan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ulu Daro untuk melaksanakan program dan aktiviti.