SERIAN: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, beliau masih belum mengetahui keputusan mesyuarat teknikal Ahli Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung permintaan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Namun, beliau percaya perkara itu pastinya telah dibincangkan namun beliau masih belum menerima keputusan rasmi.
“Terdapat banyak perkara yang perlu dibincangkan mengenai isu dan yang paling penting, kita mahu terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Di Sarawak, kita sudah ada mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris bermula dari Tahun Satu hingga Tahun Enam serta diteruskan hingga Tingkatan Tiga.
“Tetapi, kita mahu meneruskannya sehingga ke peringkat menengah atas dalam kalangan pelajar aliran sains tulen sehingga tingkatan enam,” katanya selepas merasmikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) peringkat negeri untuk pelajar Tingkatan Enam di SMK Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
Menurutnya, jika ia dihentikan selepas Tingkatan Tiga, ia tidak adil kepada pelajar yang telah mempelajari semua subjek dalam bahasa Inggeris selama sembilan tahun tetapi akhirnya terpaksa menggunakan Bahasa Melayu.
“Itulah antara perkara yang saya rasa kita mahu selesaikan dahulu. Masih banyak lagi perkara lain untuk diselesaikan tetapi masih menjadi rahsia,” jelasnya.
