LUNDU: Program Projek Impian Direalisasikan (PRO-DR jelajah pendidikan dan kerjaya terbesar di Sarawak, menutup tirainya di SMK Lundu hari ini selepas 31 hari merentasi 14 daerah.
Anjuran Kerajaan Sarawak melalui TEGAS bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, PRO-DR menghimpunkan lebih 30 institusi pendidikan, TVET, agensi kerajaan dan penyedia bantuan kewangan.
ADUN Opar, Billy Sujang, berkata inisiatif ini memastikan anak muda luar bandar memperoleh pendedahan penting, serta menekankan penguasaan kemahiran abad ke-21 termasuk teknikal, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik dan digital bagi menghadapi ekonomi masa depan.
‘’Program ini memberi peluang pelajar luar bandar mengakses maklumat pendidikan dan kerjaya dengan lebih meluas,’’ katanya pada majlis penutupan program itu di sini, hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan pengumuman penubuhan T&T Mini Lab bernilai RM15,000 di SMK Lundu bagi memperkukuh penguasaan teknologi dan membuka ruang inovasi serta kreativiti pelajar.
