BINTULU: Sarawak bakal menjalinkan kerjasama strategik dengan Brazil bagi memperkukuh industri penternakan tempatan melalui penggunaan teknologi inseminasi buatan dan baka lembu, Zebu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata Brazil dipilih kerana keupayaannya menguasai industri ternakan dengan lebih 240 juta ekor lembu serta teknologi ‘frozen sperm’ yang terbukti meningkatkan mutu baka.
“Kerjasama itu turut membolehkan pegawai Sarawak dihantar menjalani latihan di Brazil, sekali gus mempercepatkan pemindahan teknologi kepada penternak tempatan. Usaha ini diyakini dapat meningkatkan daya tahan industri dan tahap sara diri makanan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Sarawak Agrofest 2025 yang disempurnakan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Dr Rundi turut menegaskan bahawa kos makanan ternakan yang tinggi menyumbang kepada defisit perdagangan makanan negara, yang mencecah RM7.6 bilion pada 2024.
Justeru, Sarawak kini memberi fokus kepada inovasi termasuk protein serangga dan produk sampingan sawit bagi mengurangkan kebergantungan import.
