BINTULU: Sarawak dijangka memperkenalkan satu undang-undang baharu hujung tahun ini khusus bagi mengawal selia pengurusan sisa kelapa sawit di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, usaha itu penting kerana sisa sawit sebenarnya mempunyai nilai ekonomi besar jika diurus secara sistematik.
Katanya, sisa seperti palm kernel boleh diproses untuk pelbagai kegunaan, antaranya baja, makanan haiwan dan juga biogas, sekali gus menyokong agenda pembangunan hijau negeri.
“Masalah yang kita hadapi kini ialah sisa sawit ini dijual secara berselerak tanpa kawalan. Sedangkan ia boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan sekiranya dikumpulkan dan diproses dengan betul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sarawak Agrofest 2025, di sini, hari ini.
Abang Johari menegaskan ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan potensi ekonomi daripada sisa sawit tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama bagi pekebun kecil di kawasan NCR.
Menurutnya, Pejabat Peguam Besar Negeri kini sedang menyediakan draf perundangan berkenaan dan dijangka siap untuk dibentangkan sebelum hujung tahun ini.
Beliau yakin apabila dilaksanakan kelak, ia bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, malah dapat memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri menerusi penghasilan makanan ternakan tempatan.
