Jaga sensitiviti masyarakat dalam laporan berita – Abdullah

KUCHING: Pengamal media diingatkan agar lebih berhati-hati dalam menulis serta menerbitkan berita khususnya yang melibatkan isu sensitif.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menegaskan, setiap penerbitan berita perlu dibuat dengan penuh pertimbangan agar tidak menyinggung sensitiviti masyarakat.

“Setiap tindak-tanduk kita, terutama warga media, harus berhati-hati dalam menulis atau menerbitkan sesuatu berita supaya tidak menyinggung perasaan masyarakat.

“Dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya, ada perkara-perkara tertentu yang kita perlu lebih sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Komuniti Bersama Media Sarawak 2025 sempena Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan di Sarawak disiasat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penerbitan artikel bertajuk ‘Militant Using Press Cover Eliminated’ yang disiarkan pada 12 Ogos.

Sementara itu, Abdullah menjelaskan bahawa tindakan KDN adalah sebahagian daripada bidang kuasa pihak berkuasa, sama ada kementerian ataupun polis, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Namun begitu, beliau berkata insiden tersebut juga harus dijadikan pengajaran kepada warga media mengenai tanggungjawab besar yang dipikul dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Media tidak seharusnya terlalu ghairah mencari perhatian sehingga mengabaikan sensitiviti isu nasional, kebangsaan mahupun kemanusiaan,” katanya.

Abdullah turut menekankan kepentingan pengamal media dalam menghargai jasa serta pengorbanan bekas perajurit negara yang telah membina asas keamanan dan kebebasan yang dinikmati pada masa kini.

“Media adalah senjata yang boleh membentuk pemikiran masyarakat. Kalau dahulu orang berkata pena lebih tajam daripada pedang, hari ini cabarannya lebih besar kerana melibatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pemberitaan,” jelasnya.