Separuh maraton Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang boleh dijadikan larian bertaraf antarabangsa

SARIKEI: Penganjuran separuh maraton Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang dicadangkan sebagai acara bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia susulan penyertaan 1,800 peserta
terhadap acara julung kali diadakan itu.

Katanya, sambutan itu membuktikan maraton semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Berdasarkan sambutan kali ini, saya mahu acara ini diperbesarkan lagi. Malah, ia boleh dinaik taraf kepada maraton penuh sejauh 42 kilometer, sekali gus berpotensi menarik penyertaan pelari dari seluruh dunia,” katanya pada majlis penyampaian hadiah hari ini.

Larian yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM60,000 itu mempertandingkan tiga kategori utama iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan 5 kilometer, melibatkan kategori terbuka lelaki, wanita dan veteran.

Menurut Len, kerajaan negeri akan menyelaraskan penganjuran maraton di seluruh Sarawak agar tidak bertindih, sekali gus menjadikan acara seumpama ini sebagai tarikan pelancongan sukan baharu bagi negeri ini.

Larian yang mendapat tajaan utama daripada Ta Aan Holding Berhad turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), kelab dan individu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin serta ketua-ketua jabatan.