PADAWAN: Kerajaan Sarawak akan mencari dana tambahan bagi keseluruhan projek pembinaan pejabat baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keseluruhan projek terbabit melibatkan sebanyak lima fasa.
“Mereka (MPP) mempunyai dana sedikit tetapi masih memerlukan RM60 juta ( bagi fasa pertama) maka saya luluskan ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Upacara Pecah Tanah Pejabat Baharu MPP, di Batu 12, Jalan Kuching-Serian, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, peruntukan RM60 juta terbabit akan disalurkan menerusi dana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) manakala bagi fasa projek seterusnya, Kerajaan Sarawak akan terus berusaha mencari dana tambahan.
Sementara itu Pengerusi MPP, Tan Kai berkata fasa pertama projek ini melibatkan pakej pertama iaitu kerja-kerja pembersihan tapak yang bermula Julai 2025 dan pakej kedua melibatkan pembinaan bangunan utama setinggi sembilan tingkat akan bermula suku kedua 2026.
Fasa kedua pula akan melibatkan kerja pembinaan bangunan kemudahan awam setinggi dua tingkat, fasa ketiga akan merangkumi pembinaan sebuah amfiteater terbuka bersama-sama dengan ‘wetland pond’, fasa keempat adalah pembinaan pasar festival dan fasa kelima akan melibatkan kerja pembinaan pembangunan pusat sukan bersepadu.
