Sarawak kukuhkan kedudukan hab tenaga diperbaharui

KUCHING: Sarawak melangkah jauh ke arah memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga boleh diperbaharui dengan membangunkan dasar, teknikal dan rangka kerja komersial bagi memperluas rangkaian grid tenaga negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah itu tidak hanya memacu kepentingan domestik, malah membuka peluang bagi hubungan tenaga serantau, selaras dengan aspirasi mewujudkan Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid, APG).

“Inisiatif APG bakal melahirkan sistem tenaga serantau yang lebih berdaya tahan, mampan dan bersepadu. Ini seiring dengan matlamat kelestarian Sarawak serta peranan negeri dalam menyokong agenda peralihan tenaga ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF) 4.0 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Julaihi turut menegaskan bahawa pengalaman Sarawak membekalkan tenaga hidro bersih ke Kalimantan Barat, Indonesia, menjadi bukti kemampuan teknikal negeri ini dalam menyediakan tenaga pada kadar kompetitif.

“Pencapaian itu bukan sahaja mengukuhkan kerjasama ekonomi rentas sempadan, malah mengangkat Sarawak sebagai kuasa tenaga boleh diperbaharui yang diyakini. Ia kini menjadi asas kukuh untuk memperluas jaringan grid merentasi sempadan pada masa hadapan,” jelasnya.