KUCHING: Kontraktor Bumiputera disaran agar tidak mengamalkan sikap menjual kontrak selepas dianugerahkan projek jika mahu berkembang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa, kontraktor Bumiputera harus memanfaatkan peluang yang tersedia dengan membina kapasiti dan menjalinkan kerjasama yang beretika.
“Untuk mereka membesar, jangan ambil jalan mudah. Kalau kita nak kerjasama dengan kontraktor-kontraktor yang lain, ya boleh buat kerjasama.
“Dan kita belajar daripada sana. Inilah cara untuk kita membesar. Jadi, kalau ada berlaku macam itu, saya harap ianya tidak akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Jaringan Komuniti PKS (SME Community Outreach Programme, SCOP) di sini hari ini.
Jelasnya, pelbagai kemudahan kewangan tersedia bagi kontraktor yang mempunyai perjanjian sah, termasuk sokongan daripada institusi seperti CIMB.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk memperkasakan kontraktor tempatan agar mampu melaksanakan projek pembangunan mengikut jadual.
“Peluang memang banyak. Dan untuk membina kapasiti bagi melaksanakan semua projek ini. Projek memang sangat banyak,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pejabat perdagangan dan perlancongan Sarawak di Pontianak masih dalam proses pemilihan lokasi yang sesuai, dengan sasaran dapat dibuka selewat-lewatnya tahun depan.
