Malaysia mampu jadi pencipta produk inovasi

KUCHING: Malaysia boleh menjadi negara pencipta produk inovasi yang mampu ke peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, beliau yakin negara ini mempunyai kemampuan dan kekuatan dalam bidang sains serta teknologi bagi mencipta produk terbabit.

“Namun penglibatan masyarakat secara lebih meluas perlu digerakkan bagi mengenal pasti potensi inovasi di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Jejak Inovasi Yayasan Inovasi Malaysia di Surau Al-Amin, Kampung Gita, Petra Jaya hari ini.

Fadillah berkata dalam hal ini, pendekatan Jejak Inovasi Sosial yang diperkenal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi ruang penglibatan itu kepada masyarakat.

Katanya, ini untuk masyarakat menjejak, mengembangkan, membangunkan dan akhirnya mengkomersialkan hasil inovasi.