Projek SSLR fasa dua mercu tanda pembangunan infrastruktur

SIBUTI: Sarawak bakal menyaksikan satu lagi mercu tanda pembangunan infrastruktur apabila Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dijadual dilancar pada 11 September ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, projek itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Projek jalan raya strategik itu akan membuka laluan terus dari Miri ke Sabah melalui Limbang dan Lawas dengan tempoh perjalanan yang lebih singkat, hanya sekitar tujuh hingga lapan jam,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Daerah Subis 2025, semalam.

Ahli Parlimen Sibuti itu menambah, apabila siap kelak, SSLR akan melengkapkan rangkaian jalan utama di Sarawak yang sebelum ini diperkukuh menerusi Lebuhraya Pan Borneo.

“Ini bukan sahaja menghubungkan dua negeri Borneo, malah akan merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Fasa kedua projek berkenaan melibatkan pembinaan laluan baharu serta menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer dari Lawas melalui Limbang hingga ke Mulu tanpa perlu melalui Brunei.