ASAJAYA: Asajaya bakal menyaksikan transformasi apabila tiga projek pembangunan mega dilaksanakan merangkumi lapangan terbang antarabangsa baharu, jalan raya berkembar dan pelabuhan terbesar Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan itu berupaya melonjakkan Asajaya daripada luar bandar kepada bandar moden yang strategik di pesisir negeri.
“Lapangan terbang baharu akan ditempatkan sebahagiannya di Tanjung Embang serta meliputi kawasan Kampung Tambirat dan Kampung Sebandi. Kehadiran projek ini diyakini mempercepatkan arus pembangunan di sekitarnya,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2025 Peringkat Asajaya, semalam.
Katanya, jalan raya berkembar dari Serian ke Gedong akan dibina, melalui kawasan tadahan air sebelum berakhir berhampiran Kampung Sebandi, sekali gus memudahkan akses ke kawasan pesisir.
Pembangunan turut melibatkan pembinaan dua jambatan ke dua buah pulau yang bakal dijadikan pelabuhan utama, menjadikan Asajaya sebagai pusat baharu yang menghubungkan laluan darat dan laut.
