GEDONG: Gedong sebagai daerah baharu sedang melalui fasa pembangunan yang pesat, demikian kata Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapi’ee ketika berucap pada majlis penangguhan Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Gedong di sini, semalam.
Rodiyah berkata, rakyat bangga kerana Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, merancang serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk daerah ini.
Katanya, beberapa projek besar sedang dibangun yang bakal memberi impak kepada kemajuan daerah serta membawa limpahan manfaat kepada masyarakat.
“Justeru, saya menggesa masyarakat, terutamanya belia, agar bersedia menghadapi arus perubahan ini.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Gedong bakal melalui transformasi yang besar,” katanya.
Hadir sama ialah Wakil Khas Premier, ADUN N26 Gedong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong Tahun 1447H/2025M, Dato Seri Mohd Naroden Majais.
Mengenai sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Gedong, Rodiyah berkata, sambutan Maulidur Rasul di Gedong adalah unik kerana ia diraikan selama seminggu dengan pelbagai cara pertandingan yang diadakan pada setiap malam sepanjang perayaan itu diadakan.
Sebelum itu, Rodiyah dan Mohd Naroden menyertai perarakan kontinjen sejauh lima kilometer dengan melalui bebepa buah kampung di kawsan Gedong. Selepas itu Rodiyah menyampaikan hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan sepanjang sambutan Maulidiur Rasul di Gedong.
