Syukuri nikmat pembangunan Kampung Ensengei

GEDONG: Seorang penceramah agama, Wan Lukmanhakim Wan Sajali kagum dengan perubahan pembangunan yang kini berlaku di Kampung Ensengei Melayu dekat sini.

Katanya, selain mempunyai masjid dan sekolah rendah yang indah dan jumlah rumah bertambah, Kampung Ensengei Melayu juga kini boleh dikunjungi dengan pelbagai kenderaan melalui jalan raya yang menghubungi terus ke Sadong Jaya, Asajaya, Kota Samarahan dan ke Kuching.

Wan Lukmanhakim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Hikmah Negeri Sarawak berkata, ini adalah nikmat pembangunan di kampung dan sekitarnya yang perlu dihargai dan dipelihara sepanjang masa.

Sehubungan ini, Wan Lukmanhakim mengajak penduduk supaya terus bersyukur terhadap nikmat yang ada termasuk nikmat pembangunan yang telah diusahakan oleh kerajaan.

Malah katanya, ajaran Islam juga mengajar umatnya supaya bersyukur atas nikmat yang dianugerahkan termasuk nikmat pembangunan dan kemakmuran.

“Kini saya terkejut apabila melihat keadaan kampung ini yang bertukar wajah, daripada keadaan yang serba berkurangan kini menjadi sebuah kampung yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur termasuk rangkaian jalan raya terus ke pusat Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramahnya sempena Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Nurul Huda Kampung Ensengei Melayu semalam.

Sebelum itu, penduduk Kampung Ensengei Melayu mengadakan perarakan yang melalui sekitar kawasan kampung dan menuju ke Masjid Nurul Huda, Kampung Engsengei Melayu.